Tuesday, January 28, 2014

MENGAPA BANGAU KURUS

Pada suatu hari, Raja Sulaiman memanggil semua burung datang mengadap. Semua jenis burung hadir.

“Beta ingin sampaikan berita gembira. Hari ini genaplah seratus purnama beta memerintah. Oleh itu beta ingin beri hadiah istimewa. Kamu boelh minta apa sahaja. Beta akan tunaikan permintaan kamu,” titah Raja Sulaiman. Semua burung berasa gembira. Ada yang bersorak-sorak. Ada yang melompat-lompat.

“Bolehkan patik mendapat bulu yang cantik tuanku? Patik ingin jadi burung paling cantik di dunia,” kata merak.

“Tentu boleh. Beta akan tunaikan permintaan kamu itu,” titah Raja Sulaiman sambil tersenyum.
“Kamu pula hendak apa?” Tanya Raja Sulaiman kepada kelicap.

“Kalau boleh, patik ingin paruh yang panjang,” kata kelicap.

“Kenapa minta paruh yang panjang?” Tanya Raja Sulaiman.

“Patik suka minum madu, tuanku. Kalau paruh patik panjang, senanglah hisap madu bunga,” jawab kelicap,” jawab kelicap.

“Baiklah, beta akan tunaikan permintaan kamu itu, itik. Beta akan beri kamu kaki yang lebar,” jawab Raja Sulaiman.

“Patik ingin sarang yang cantik, tuanku,” kata tempua.

“Kalau begitu, beta akan beri kamu kepandaian membuat sarang,” titah baginda.

“Tuanku, tubuh patik ini kecil. Kalau boleh patik mahu kepala patik berwarna putih. Dari jauh lagi sudah dapat dilihat,” pinta pipit.

“Perkara itu mudah sahaja. Akan beta tunaikan,” titah Raja Sulaiman lagi.

Semua burung telah meminta hajat mereka. Kini Cuma tinggal giliran bangau yang sombong.
“Pintalah segera wahai bangau. Beta pasti tunaikan,” titah Raja Sulaiman.

“Baiklah tuanku. Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau.

“Apa? Boleh kamu ulang?” soal Raja Sulaiman. Baginda terkejut.

“Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau lagi.

Semua burung yang ada terkejut. Mereka hairan dengan permintaan itu. Raja Sulaiman juga berasa ganjil. Baginda suruh bangau ulangi lagi permintaannya. Bangau tetap berkata seperti itu juga. Akhirnya Raja Sulaiman puas hati. Baginda akan tunaikan permintaan bangau itu.

Esoknya, bangau pergi ke tepi tasik. Ia ingin mencari ikan. Namun, seekor pun dia tidak dapat. Pada hari ketujuh barulah dia dapat seekor.

Kenapa aku susah hendak dapat makanan? Bukankah aku minta banyak makanan daripada baginda? Bisik bangau dalam hati. Tiba-tiba bangau teringat kembali kata-katanya dahulu. Ia meminta makan tujuh hari sekali. Bukan minta makan tujuh kali sehari.

“Aku dah tersalah cakap. Patutlah semua burung hairan. Tak seekor pun tolong betulkan cakap aku. Mungkin kerana aku sombong. Aku menyesal,” kata bangau sendirian.

Mulai hari itu bangau sukar dapat ikan. Badannya semakin kurus. Ia rasa sedih. Kadang-kadang ia berdiri lama dalam air. Ia termenung memikirkan nasibnya. Itulah sebabnya badan bangau kurus.

Monday, January 27, 2014

Angan - angan Mat Jenin

Pada suatu pagi Mat Jenin memanjat sepuluh batang pokok kepala. Dia sudah memetik lebih daripada lima puluh biji kelapa.

Semasa memanjat pokok yang kesebelas, Mat Jenin sudah mula berangan-angan dengan upah memetik kelapa itu nanti akan dibelikannya dua puluh biji telur ayam kampung. Setelah memetik lima biji kelapa kering daripada pokok kelapa itu, Mat Jenin tiba-tiba terasa letih dan dia ingin berehat di atas pokok.

Mat Jenin bertenggek di atas pelepah nyiur yang separuh kering. Dia pun memejamkan kedua-dua belah matanya dan dia menyambung semula angan-angannya. Telur-telur ayam yang dibeli itu akan dieramkan dan setelah membiak, ayam-ayam itu akan dijual. Kemudian wangnya akan dibelikan beberapa ekor kambing dan setelah membiak cukup besar, kambing itu juga akan dijual. Wangnya akan dibelikan juga beberapa ekor lembu.

Mat Jenin tersenyum gembira kerana lembu-lembunya sudah membiak dan gemuk-gemuk belaka. Jika dijual tentu wangnya dapat dibelikan beberapa ekor kuda dan kuda itu berguna untuk dijadikan tunggangan menghalau lembu-lembu di kawasan padang rumput.

Pada suatu hari semasa Mat Jenin bersiar-siar menunggang kuda putihnya, dia ternampak puteri raja. Memang sudah lama Mat Jenin berangan-angan hendak berjumpa dengan tuan puteri. Mat Jenin sungguh gembira kerana dia dapat membawa tuan puteri menunggang kuda bersam. Tuan Puteri gembira dan meminta Mat Jenin memacu kuda lebih pantas.

Mat Jenin terasa badannya terhenjut-henjut dan barulah dia merasa bagaimana sebenarnya orang menunggang kuda. Mat Jenin tidak sedar yang dia sedang terhenjut-henjut di atas pelepah nyiur. Akibat terlalu pantas, kuda Mat Jenin telah tersalah lompat lalu ia terperosok ke dalam perigi buta.

Pada masa itulah Mat Jenin membuka matanya dan dia mat terkejut kerana dirinya sedang melayang-layang di udara. Mat Jenin tidak segera buntu fikiran dan dia cuba mengimbangi badan dan duduk diam di atas pelepah nyiur yang melayang itu. Akhirnya Mat Jenin berjaya mendarat dengan kedua-dua belah kakinya tercegat.

Jiran-jirannya terlopong menyaksikan peristiwa itu dan Mat Jenin hanya tersenyum serta bersyukur kepada Tuhan kerana telah selamat.

“Usaha tetap jaya, tetapi angan-angan membawa celaka,” kata jirannya setelah mendengar cerita Mat Jenin.

Si Luncai Dengan Labu-labunya

Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.

Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.

Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.

Seruling Sakti

Pada zaman dahulu terdapat sebuah pekan kecil yang sangat cantik terletak di kaki bukit. Pekan tersebut di kenali Hamelyn. Penduduk di pekan tersebut hidup dengan aman damai, tetapi sikap mereka tidak perihatin terhadap kebersihan. Pekan tersebut penuh dengan sampah sarap. Mereka membuang sampah di merata-rata menyebabkan pekan tersebut menjadi tempat pembiakan tikus. Semakin hari semakin banyak tikus membiak menyebabkan pekan tersebut dipebuhi oleh tikus-tikus.

Tikus-tikus berkeliaran dengan banyaknya dipekan tersebut. Setiap rumah tikus-tikus bergerak bebas tanpa perasaan takut kepada manusia. Penduduk di pekan ini cuba membela kucing untuk menghalau tikus dan ada diantara mereka memasang perangkap tetapi tidak berkesan kerana tikus terlampau banyak. Mereka sungguh susah hati dan mati akal bagaimana untuk menghapuskan tikus-tikus tersebut.

Musibah yang menimpa pekan tersebut telah tersebar luas ke pekan-pekan lain sehinggalah pada suatu hari seorang pemuda yang tidak dikenali datang ke pekan tersebut dan menawarkan khidmatnya untuk menghalau semua tikus dengan syarat penduduk pekan tersebut membayar upah atas kadar dua keping wang mas setiap orang. Penduduk di pekan tersebut berbincang sesama mereka diatas tawaran pemuda tadi. Ada diatara mereka tidak bersetuju oleh kerana mereka tidak sanggup untuk membayar upah yang sangat mahal. Setelah berbincang dengan panjang lebar akhirnya mereka bersetuju untuk membayar upah seperti yang diminta oleh pemuda itu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Keputusan tersebut dimaklumkan kepada pemuda tadi, lalu dia mengeluarkan seruling sakti dan meniupnya. Bunyi yang keluar dari seruling itu sangat merdu dan mengasik sesiapa yang mendengarnya. Tikus-tikus yang berada dimerata tempat didalam pekan tersebut mula keluar dan berkumpul mengelilinginya. Pemuda tadi berjalan perlahan-lahan sambil meniup seruling sakti dan menuju ke sebatang sungai yang jauh dari pekan tersebut. Apabila sampai ditepi sungai pemuda tadi terus masuk kedalamnya dan diikuti oleh semua tikus.Tikus-tikus tadi tidak dapat berenang didalam sungai dan semuanya mati lemas.

Kini pekan Hamelyn telah bebas daripada serangan tikus dan penduduk bersorak dengan gembiranya. Apabila pemuda tadi menuntut janjinya, penduduk tersebut enggan membayar upah yang telah dijanjikan kerana mereka mengangap kerja yang dibuat oleh pemuda tadi tidak sepadan dengan upah yang diminta kerana hanya dengan meniupkan seruling sahaja. Pemuda tadi sangat marah lalu dia menuipkan seruling saktinya sekali lagi. Irama yang keluar dari seruling itu sangat memikat hati kanak-kanak menyebabkan semua kanak-kanak berkumpul di sekelilingnya. Satelah semua kanak-kanak berkumpul pemuda tadi berjalan sambil meniupkan seruling dan diikuti oleh semua kanak-kanak. Pemuda itu membawa kanak-kanak tersebut keluar dari pekan Hamelyn. Setelah Ibu Bapa menyedari bahawa mereka akan kehilangan anak-anak, mereka mulai merasa cemas kerana kanak-kanak telah meninggalkan mereka dan mengikuti pemuda tadi. Mereka mengejar pemuda tadi dan merayu supaya menghentikan daripada meniup seruling dan memulangkan kembali anak-anak mereka. Merka sanggup memberi semua harta benda yamg ada asalkan pemuda tersebut mengembalikan anak-anak mereka.

Rayuan penduduk tidak diendahkan oleh pemuda tadi lalu mereka membawa kanak-kanak tersebut menuju kesuatu tempat dan apabila mereka sampai disitu muncul sebuah gua dengan tiba-tiba. Pemuda tadi mesuk ke dalam gua itu dan diikuti oleh kanak-kanak. Setelah semuanya masuk tiba-tiba gua tersebut gaib dan hilang daripada pandangan penduduk pekan tersebut. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa oleh kerana mereka telah memungkiri janji yang mereka buat. Merka menyesal diatas perbuatan mereka tetapi sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Sehingga hari ini penduduk pekan Hamelyn tidak melupakan kesilapan yang dilalukan oleh nenek moyang mereka. Menepati janji adalah pegangan yang kuat diamalkan oleh penduduk pekan Hamelyn sehingga hari ini.